Untuk Jadi hebat tidak perlu jadi org lain,jadilah DIRI SENDIRI *_*

Untuk Jadi  hebat tidak perlu jadi org lain,jadilah DIRI SENDIRI *_*

Sunday, December 27, 2009

Sesetengah nikmat itu hanya datang sekali, tetapi bersyukurlah selalu..

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera ...


Ada sepasang suami isteri yang hidup bahagia. Tidak ada kurangnya bagi pasangan yang
dilimpahi dengan kemewahan ini kecuali satu, mereka tidak punya anak walaupun
telah lama berumah tangga. Sering mereka bercerita tentang betapa indahnya
hidup sekiranya punya seorang anak penyejuk mata. Rasa ini bergolak hebat
apabila melihat kepada jiran sekeliling yang sentiasa riuh rendah dengan
bunyi hilai ketawa anak-anak, kadang-kadang tangisan nyaring.

Apa yang menarik tentang pasangan Mr. & Mrs. Perfect ini:
Susun atur dalaman rumah mereka yang rapi, kekemasan sentiasa pada tahap
maksimum dan semua benda mesti berjalan seperti yang dirancang dan
dijadualkan. Rutin hidup mereka semuanya berjalan seperti dalam catatan diari
dalam kerapian tahap tinggi. Nota semakan kerja rumah tergantung pada peti
ais, pada white board pula senarai semakan keberkesanan, perancangan pula
dalam buku management tersendiri. Dengan tekun semua ini diulang-ulang saban
hari, minggu dan tahun.

Pada satu hari yang indah, si isteri bergegas memberitahu jiran tetangga
berita gembira yang dikongsi bersama dengan sambutan syukur hampir seluruh
kawasan kejiranan berhampiran. Menurut doktor, dia bakal menimang cahaya
mata. Kegembiraan jelas terpancar pada pasangan ini, ucapan tahniah datang
mencurah-curah.

Begitu pantas masa berlalu. Akhirnya sampailah saat yang
mendebarkan, anak yang ditunggu dilahirkan dengan selamat. Bayi lelaki comel
ini benar-benar memberi sinar pelengkap kasih sayang di dalam rumah itu.

Tiga tahun berlalu, anak lelaki ini membesar dengan sihat dan subur, sesubur
perhatian dan belaian daripada ayah dan ibu. Namun berlaku sesuatu yang tidak
diduga oleh ibunya selama ini. Anak lelaki ini mempunyai perangai yang
seratus peratus berbeza dengan sikap ibunya. Kalau ibunya sangat kemas, anak
lelaki ini akan mengeromot segalanya. Rumah yang selama ini kemas teratur
sering kali bertukar wajah menjadi seperti lepas perang, kena penangan anak
ini. Keadaan tidak terkawal, anak ini mungkin telah dimanjakan berlebihan.

Si ibu merintih derita. Apa yang berlaku ini bertentangan sama sekali dengan
kanun dirinya. Semua mesti sempurna! Sampai pada tahap ini si ibu selalu
terlanjur cakap ba hawa mempunyai
anak sebenarnya satu kesilapan. Anak bukan penyejuk mata sebaliknya peragut
ketenangan.

Bagi mendidik si anak, si ibu terpaksa menggunakan sedikit kekerasan, cubit,
rotan dan meminta dia berikrar untuk tidak mengulanginya kembali.

"Mama, abang minta maaf . Abang tak akan ulang lagi." Itulah
ungkapan yang diajar setiap kali kesalahan dibuat.

Satu lagi tabiat yang pelik bagi anak ini ialah dia akan mengoyak kertas yang
dijumpainya dan dibiarkan bersepah merata-rata. Cubitan dan kemarahan tidak
berjaya mengubah tingkah lakunya, dia masih dengan tabiat menyepah-nyepah,
kemudian rumah jadi bingit dengan leteran dan bahang kemarahan ibu. Begitulah
yang sering berlaku.

Pada suatu hari si ibu bergegas mengemaskan rumah kerana kawan lamanya bakal
datang melawat. Dia ke dapur memasak hidangan kepada tetamu yang bakal
datang.

Bila dia membawa makanan untuk dihidangkan, alangkah terkejutnya apabila dia
melihat ruang tamu bersepah, sofa tunggang langgang dan koyakan kertas
bertabur di mana-mana.
"Abang . mari sini!!" Jerit si ibu memanggil anaknya lebih kuat
daripada biasa. Kemarahannya mencecah siling kesabaran dan membakar rentung
ladang hemahnya.

Si anak ketakutan lalu lari meluru ke arah pintu. Si ibu mengejar dari
belakang. Nafasnya tertahan-tahan menahan marah. Kaki anak melangkah keluar
dari rumahdengan larian deras. Sesaat dia telah berada di hadapan pagar.

Tiba-tiba terdengar satu bunyi hentaman keras. Larian ibu terhenti. Wajah
terasa basah terpercik sesuatu. Dia terpaku . Alangkah terkejutnya apabila
melihat anaknya menggelupur kesakitan berhampiran longkang besar di tepi
rumahnya. Basah di muka tadi rupanya adalah darah anaknya.

Dia tidak mempedulikan lagi pada kereta yang melanggar, dia meluru
mendapatkan anak dan merangkulnya. Darah merah ada di mana-mana, dada anak
berombak-ombak, tubuh kekejangan, terdengar bunyi rengekan menahan sembilu
kesakitan yang amat. Tanpa berlengah dia terus memandu keretanya, anak
diletakkan ke atas ribanya, tubuhnya kini dibasahi darah merah segar anaknya,
dia terus memecut laju ke hospital.

"Ya Allah . tolonglah selamatkan anakku ini." Doanya dalam raungan
 kuat sambil memandu laju. Hon dibunyikan bertalu-talu minta laluan daripada
pemandu lain.

"Ya Allah . aku tahu aku gagal menjadi seorang ibu yang baik tetapi aku
memohon sekali ini . Ya Allah selamatkanlah anakku ini."


Air matanya bercucuran dengan deras menitis, tumpah dan bergaul dengan darah
merah anaknya. Perjalanan terasa begitu jauh dalam keadaan begini. Nafas anak
tercungap-cungap. Dari mulut, hidung juga telinga darah terus mengalir begitu
deras. Si anak bergelut dengan kesakitan, dada berombak kuat, setiap kali dia
membuka mulutnya darah bercucuran keluar.

Anak seperti ingin menuturkan sesuatu, ibu menangis semahunya.

"Mama maafkan abang ." Ungkapannya sukar
, tersekat-sekat kerana kesakitan itu.

"Abang janji tak akan buat lagi."

Itulah ucapan yang selalu dituturkan apabila ibunya marah. Ibu memegang mulut
anak, hatinya menangis. Bukan ini yang ibu mahu dengar.

Sebaik sampai di hospital, anak dikejarkan ke bahagian kecemasan. Ibu
menunggu di luar, dia membuat panggilan kepada suami dan mengurus segala
prosedur yang patut. Dengan baju dipenuhi darah tanpa merasa malu pada orang
sekeliling yang melihatnya, dia menangis sekuat hati, rasa sesal mengasak
kuat segenap ruang hatinya.

"Ya Allah berilah aku peluang kedua untuk menjadi seorang ibu yang baik,
aku sedar akan kesalahanku ."


"Ya Allah selamatkanlah anakku hari ini ."

Doa tidak pernah putus dari bibirnya dengan permohonan setulus-tulusnya
kepada tuhan.

Setelah lama menunggu, tiba-tiba doktor keluar. Bebola matanya merenung penuh
pengharapan pada doktor.

"Puan, maafkan . Kami telah
cuba melakukan yang terbaik." Patah bicara doktor satu-satu menyusun kalimah.

"Anak puan . Telah meninggal dunia."
Hanya itu yang mampu dituturkan, walaupun selalu tetapi tetap sukar untuk
menjelaskannya kepada ibu ini.

Dunia terasa seperti pasir jerlus yang menyedut dengan deras ke dalam,
kepingan langit sekeping-sekeping menghempas ubun-ubun kepalanya. Alangkah
sakitnya hakikat ini. Dalam tangisan berderai, dia meluru dan merangkul
sekujur tubuh anaknya dengan mata tertutup rapat, kesakitan telah tiada
bersama nafasnya yang berangkat pergi buat selama-lamanya.

"Anak . Kamu tidak mendapat apa yang sepatutnya ibu berikan di sepanjang
perjalanan pendekmu ini ."

 Ibu mencium semahu-mahunya. Namun wajah itu hanya kaku, dingin sekali.

Jenazahnya kemudian diuruskan sehingga selesai sempurna. Malam itu apabila
lampu tidur dimatikan dan kawasan kejiranan sunyi, ibu keluar ke kawasan tong
sampah di hadapan rumah. Dia menyelongkar sampah semalam mencari koyakan
kertas anaknya. Malam itu di ruang tamu rumahnya penuh koyakan kertas yang
ditaburkan.

 Dengan nada lemah sekali bersama lelehan air mata hangat ibu berkata,
"Alangkah indah andainya ini yang ibu lihat pada setiap hari di
sepanjang hidup ini."

"Ibu rindu kepadamu . Ibu rindu kepada nakalmu . Ibu rindu pada koyakan
kertas ini, tetapi kenapa ibu buta tentangnya selama ini?"


Tangisan hanya saksi bisu dengan irama tersendiri, namun hakikat yang
terpaksa direngguk ialah semua itu tidak boleh diulang lagi. Anak comel itu
tidak akan pulang lagi ke rumah sampai bila-bila.

Benar, sesetengah nikmat itu hanya datang sekali, kerana itu nikmati dan
syukurilah, bersyukurlah sentiasa.

Amat
malang kerana kita selalu sedar dan menghargai sesuatu, hanya selepas nikmat itu
terlerai daripada genggaman.

 
 
 

No comments:

Post a Comment